Sunday, March 8, 2015

"Mengajak sahabat pergi Times Square lebih senang daripada mengajak sahabat pergi majlis ilmu"

Keenakan ikan bakar yang dibakar sendiri oleh abah dan aku tidak membejatkan perkongsian ilmiah di meja makan. Seperti biasa, mama mendiamkan diri. Seperti biasa, aku sentiasa mempunyai luahan dan pandangan mengenai sesuatu isu. Seperti biasa, abah akan mendengar dan menjawab persoalan aku.

Sambil meratah ikan bakar tersebut, aku meluahkan rasa terkilan dengan sahabat-sahabat di kolej.
Aku tidak mempunyai sahabat yang boleh diajak ke majlis ilmu. Yang tidak kisah untuk merakamkan video Arab di pondok. Yang boleh diajak berbual tentang ilmu dan isu semasa.

Ya, aku seorang yang sangat membosankan. Hanya bercakap apabila perlu.
Susah hendak istiqamah mengikut sunnah apabila kita berseorangan. Akan ada suatu masa aku akan ikut mengumpat dan akhirnya umpatan memakan diri dan merosakkan hubungan antara insani.
Apabila aku bernekad untuk berubah, pasti akan terdengar suara mengatakan terlalu lambat untuk aku berubah. Benda sudah berlaku. Nama kau sudah tercalar. Teruskan perbuatan kau kerana sudah terlambat untuk bertaubat.
Itulah suara syaitan.

Allah itu Maha Pengampun. Dan aku cuba mempercayainya. Aku bimbang aku termurtad tanpa sedar, atau munafik tanpa sedar.
Tetapi pesan abah "Jangan bersangka buruk dengan Allah"
Percayalah Allah itu Maha Pengampun. Dan Allah pasti akan memudahkan perjalanan istiqamah hambaNya.
Kerana jalan ke Syurga itu tidak mudah. Sangat tidak mudah.

"Islam muncul dalam keadaan terasing dan ia akan kembali dalam keadaan asing,
maka beruntunglah orang-orang yang terasing."
Baginda Rasulullah pernah bersabda.

Orang yang benar-benar mengikut dan mendalami Islam, mereka ialah orang terasing daripada dunia. Dunia tak mampu menerima mereka sebagaimana mereka berusaha untuk menolak dunia.
Jika suatu hari kita buat keputusan untuk bertudung labuh dan berselubung abaya, apakah kamu yakin semua rakan-rakan kamu mampu menerima perubahan ini ?
Kamu tidak akan sama seperti dulu.
Tidak sama sekali.
Kerana orang yang menyayangi Allah dan agamaNya pasti menolak dunia. Mereka beribadah dan bekerja tetapi bukan dunia di hati mereka.
Dan mereka akan terasing kerana mereka berbeza dengan manusia-manusia lain.
"..maka beruntunglah orang-orang yang terasing"

"The world is an illusion. No matter how much you fight for it, in the end, it does not really matter."

No comments:

Post a Comment