Friday, January 7, 2011

Tahap Kesedaran Pengguna tentang Pemanasan Global

Tahap Kesedaran Pengguna tentang Pemanasan Global


     Pada era langit terbuka, negara Malaysia telah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara – negara maju yang lain. Walaupun negara kita baru 53 tahun merdeka, tetapi kehebatan teknologi dan ilmiah negara Malaysia setanding dengan negara – negara maju seperti Amerika Syarikat, Rusia, Jepun dan Britain. Namun begitu, tahap kesedaran tentang pemanasan global dalam kalangan pengguna pada hari ini amat rendah. Hal ini demikian kerana pengguna menganggap teknologi terkini berkonsep mesra alam dan mampu mengurangkan risiko penipisan ozon. Pemanasan global, misalnya berlaku akibat penipisan ozon yang semakin serius. Pada tahun 2002, akhbar luar negara telah menyatakan ozon dari Amerika Syarikat sehingga Eropah mengalami kebocoran yang teruk. Pemanasan global yang semakin serius telah menyebabkan fenomena El Nino menyerang dunia buat kali ke – 2 selepas tahun 90 an.


     Pemanasan global berlaku akibat penggunaan bahan kluorofluorokarbon ( CFC ) secara berlebihan. Ia berlaku secara langsung apabila gas CFC menghakis lapisan ozon yang berfungsi untuk memantul sinaran ultraviolet ( UV ) dari Matahari daripada terus ke Bumi. Antara peralatan yang mengandungi bahan CFC ialah peti sejuk, penyembur aerosol dan penghawa dingin. Sebagai pengguna, kita haruslah menyokong kempen yang telah diadakan oleh kerajaan melalui media massa untuk mengurangkan risiko penipisan ozon yang menjadi penyebab utama berlakunya pemanasan global. Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia sering mengamalkan sikap seperti melepaskan batuk di tangga. Sikap ini sekaligus mengecewakan pihak kerajaan dan pihak yang berusaha untuk memastikan pemanasan global tidak mencapai suhu maksima.


      Selain itu, pemanasan global juga berlaku akibat pelepasan gas karbon monoksida yang terhasil melalui pembakaran minyak dalam kenderaan yang bergerak. Gas karbon monoksida bukan sahaja menyebabkan berlakunya hujan asid tetapi juga menyebabkan peningkatan penyakit berbahaya seperti kanser paru – paru dan kerosakan saraf otak. Walaupun kempen kesedaran mengenai bahayanya gas karbon monoksida telah dijalankan tetapi masyarakat masih bersikap acuh tidak acuh dengan impak gas karbon monoksida yang memberi turut memberi impak dalam pemanasan global. Meskipun kempen carpool atau satu kereta ke tempat kerja yang sama dan galakkan menggunakan kemudahan awam seperti LRT dan komuter telah dijalankan tetapi hanya segelintir pengguna jalan raya yang mengambil iktibar daripada kempen yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan.


      Di samping itu, penebangan hutan tanpa kawalan telah menyebabkan tanah menjadi tandus dan suhu Bumi bertambah panas. Ekosistem flora dan fauna amat penting untuk menjamin keseimbangan alam. Hal ini kerana flora dan fauna yang terdiri daripada tumbuh – tumbuhan dan haiwan berfungsi untuk menjalankan ekosistem alam tanpa memberi impak negatif kepada Bumi. Tanpa hutan yang terdiri daripada pelbagai jenis pokok dengan pelbagai fungsi, tanah akan menjadi tandus kerana ketiadaan akar pokok dan daun – daunan untuk menjalankan proses fotosintesis. Peranan pengguna dalam aktiviti tidak bermoral ini ialah melaporkan sebarang kecurigaan terhadap sesuatu aktiviti pembalakan tanpa izin seperti yang selalu diberitahu melalui papan notis. Hutan simpan misalnya tidak seharusnya mempunyai sebarang aktiviti pembalakan kerana ia digunakan untuk mengekalkan keindahan khazanah alam.


       Pengguna bukan sahaja terdiri daripada golongan pekerja biasa tetapi juga golongan pekerja kilang dan pihak industri. Sebagai pekerja yang mencari rezeki di kilang, mereka seharusnya sudah lali dengan peraturan yang disediakan serta memahami peraturan alam sekitar seperti yang ditetapkan oleh pihak kerajaaan khususnya pihak alam sekitar. Oleh itu, mereka haruslah melaporkan sebarang kecurigaan dan memastikan piawaian gas tidak melebihi had yang ditetapkan. Hal ini kerana kebanyakan kilang – kilang industri mengeluarkan asap tebal dan dikhuatiri beracun. Akibatnya, hujan asid akan terjadi dan asap – asap kilang terperangkap di atmosfera lalu menyebabkan suhu Bumi semakin panas. Sejak dari dahulu lagi, ramai pengguna telah mengadu tentang hal ini tetapi tidak diendahkan oleh pihak industri dengan alasan gas – gas itu tidak mengandungi bahan beracun. Namun apabila disiasat oleh pihak bertanggungjawab, kilang tersebut didapati menggunakan bahan yang tidak disahkan oleh pihak kerajaan.


      Aktiviti pembakaran terbuka mungkin dianggap perkara kecil dan remeh tetapi ia boleh menyebabkan api pembakaran itu merebak sehingga ke tempat lain yang berpotensi untuk terbakar. Pembakaran jerami misalnya yang selalu menyebabkan kemalangan jalan raya di Kedah semasa musim menuai. Disebabkan kerakusan manusia untuk mendapatkan hasil lumayan daripada tanaman padi maka setiap kali musim menuai pastikah pembakaran jerami akan dilakukan? Secara tidak langsung, pembakaran inilah yang menyebabkan berlakunya jerebu dan sekiranya ianya tidak dikawal dengan ketat, pembakaran ini boleh meragut nyawa. Contohnya baru - baru ini kita dikejutkan dengan berita kematian seorang petani apabila api jerami yang dibakarnya tiba – tiba turut membakar pondok yang didiaminya. Oleh itu, pengguna haruslah bijak menghapuskan sampah dengan cara mengitar semula dan menjadikannya sebagai barangan terpakai. Perbuatan yang mulia ini membantu pencipta menghasilkan produk yang berkualiti menggunakan bahan – bahan kitar semula seperti pensel.


      Pembuangan sampah secara berleluasa boleh menyebabkan pengaliran air tidak mengalir dengan lancar lantas menjadi seperti salah satu sungai di Ulu Kinta. Apakah kaitan pembuangan sampah dengan pemanasan global walhal perbezaannya umpama langit dan bumi? Pembuangan sampah ke dalam sungai boleh menyebabkan pengaliran sungai menjadi perlahan dan mati di situ sahaja. Maka berlakulah penghakisan tanah akibat banjir dan kekeringan air akibat proses kondensasi. Penghakisan tanah yang berlaku boleh menyebabkan mendapan sungai bertambah dan potensi untuk kekeringan sungai adalah tinggi. Sekaligus ia menyebabkan berlakunya pemanasan global akibat daripada 2 impak melalui satu aktiviti tidak bermoral. Sebagai pengguna alam sekitar khususnya sungai untuk aktiviti riadah dan mandi – manda, kita haruslah menghargai sungai dengan cara mengutip sampah – sampah yang terbiar di kawasan sungai supaya pemandangan indah milik alam tidak tercemar. 


      Secara tuntasnya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memastikan bahana pemanasan global tidak melebihi had yang mampu membawa kerosakan serius kepada Bumi. Janganlah menjadi bagai sudah terhantuk baru mengadah kerana impak pemanasan global adalah di luar jangkaan kita. Oleh itu, kita haruslah memastikan produk yang dibeli mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab seprti SIRIM. Akhir sekali, ambillah iktibar daripada kata – kata La Rochefoucald iaitu nafsu seseorang membuatkan orang pandai menjadi gila dan orang yang paling bodoh menjadi pandai yang bermaksud kita mestilah pandai mengawal nafsu supaya kita boleh mengawal dunia.

No comments:

Post a Comment