Tuesday, January 11, 2011

Kesan - Kesan Kemeruduman Perpaduan Kaum

Kesan – Kesan Kemeruduman Perpaduan Kaum

Assalammualaikum dan salam 1Malaysia. Selamat pagi saya ucapkan kepada guru yang dihormati, Puan Norshimah serta rakan – rakan kelas 5 Sains Kejuruteraan. Pada hari ini, saya, A.Nastasya ingin membincangkan tentang kesan – kesan kemeruduman perpaduan kaum.

Dewasa ini, kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang kurang enak mengenai perpaduan kaum yang semakin tipis akibat politik dan perselisih kefahaman. Perpaduan ialah kerjasama atau hubungan yang erat dalam pelbagai kaum atau etnik. Kaum pula membawa maksud sesuatu bangsa yang memegang adat, agama dan cara hidup yang berlainan. Suatu masa dahulu, Malaysia pernah diiktiraf sebagai antara negara yang unik kerana dasar hubungan kaum yang erat.

Keretakan perpaduan kaum selalu berpunca daripada individu sendiri. Apabila seseorang terpengaruh dengan kata – kata palsu wartawan yang dahaga akan maklumat sensasi, mereka akan cepat mempercayainya lalu bermulalah adegan bermasam muka dengan individu lain. Dengan alasan, individu tersebut menyokong fakta yang salah tanpa mengkaji terlebih dahulu akan kebenarannya. Akibatnya, inidividu tersebut mula bersikap dingin dengan orang yang mempunyai pendapat yang berlainan. Mereka juga tidak mahu terlibat dalam sebarang aktiviti yang berkait dengan perpaduan seperti gotong – royong, majlis amal dan mesyuarat balai. Hal ini kerana mereka bimbang akan pendapat yang bercanggah akan memburukkan lagi keadaan. Selain itu, mereka sengaja tidak mahu mendengar kata – kata individu dengan pendapat mereka yang pelbagai mengenai isu semasa. Mereka khuatir akan berlaku perbalahan hanya kerana hal yang remeh temeh.

Lebih daripada itu, individu yang berkeluarga juga mengalami kebimbangan yang melampau terhadap keselamatan anak mereka ekoran daripada peningkatan jenayah. Sebagai contoh, adik Sharlinie yang hilang hampir 2 tahun akibat diculik. Berdasarkan satu laporan seorang penyiasat, kejadian itu tidak akan terjadi sekiranya masyarakat di kawasan perumahan tersebut mengambil tahu tentang kanak – kanak yang bermain di sekitar taman tersebut. Kawasan perumahan itu mempunyai jalan yang sempit dan mustahil tiada siapa yang mampu mengecam mahupun menahan penculik terbabit. Akibatnya, keluarga Sharlinie mengalami trauma yang mendalam dan berpindah dari Petaling Jaya. Tambahan pula, perkahwinan campur yang sering terjalin antara Melayu, Cina, India dan Kadazan – Iban mula dihalang akibat perbezaan pendapat tentang sesuatu kaum yang sering diburuk – burukkan ekoran daripada isu semasa. Perkahwinan campur bukan sahaja menyatukan 2 insan tetapi juga mengeratkan lagi hubungan antara sesuatu kaum dengan kaum yang lain. Anak – anak hasil perkahwinan campur juga bangga kerana sering dikaitkan dengan perpaduan erat yang terjalin antara kaum.

Masyarakat merupakan kelompok yang penting dalam menjamin perpaduan yang berterusan. Namun begitu, masyarakat kini telah berpecah belah akibat perbezaan pendapat dalam isu politik dan isu semasa. Isu politik misalnya telah mengakibatkan banyak kesan buruk berbanding baik. Antara isu yang menyebabkan ramai orang bermasam muka ialah penggunaan kalimah Allah. Meskipun ia merupakan isu antara umat Islam dan penganut Kristian tetapi isu ini telah menyebabkan ramai pihak melenting terutamanya umat Islam. Akibatnya, mereka enggan bertegur sapa dengan orang bukan Islam sehingga menyebabkan orang bukan Islam memandang serong akan sikap orang Islam. Malahan, masyarakat juga mengamalkan sikap berpuak atau berkumpulan. Sikap ini wujud di mana – mana sahaja. Mengikut satu pendapat seorang pelajar tingkatan 6, sikap berpuak sudah mula kelihatan di sekolah, universiti, pejabat, bandar dan kampung. Di kampung misalnya, individu yang serba kekurangan sering menjadi bahan umpatan dan akhirnya merosakkan hubungan dengan individu terbabit. Jika dahulu pelajar Universiti Malaya sering kelihatan berjalan dengan Melayu, Cina dan India tetapi kini Melayu hanya berganding dengan Melayu dan begitu juga Cina serta India.

Jika dahulu penjajah mengagihkan sekolah mengikut kaum, kini pelbagai jenis sekolah seperti sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan telah ditubuhkan untuk menempatkan pelbagai kaum dalam satu kawasan dengan harapan pelajar dipupuk dengan semangat perpaduan sejak di bangku sekolah lagi. Namun begitu, pelajar kurang berkomunikasi dengan pelajar yang berlainan kaum kerana bimbang dengan khabar angin tentang isu semasa dan pengaruh sesetengah orang yang bersangka buruk kepada sesuatu kaum. Selain itu, pelajar juga tidak mampu memupuk semangat kerjasama dalam berkumpulan sekiranya terdapat seorang dua daripada kaum yang berlainan. Hal ini kerana pelajar mempunyai pemikiran satu hala menyebabkan mereka lebih banyak bertindak berbanding berfikir. Oleh itu, pelajar seharusnya diberi tahu akan sebab sesuatu kejadian itu berlaku berbanding membiarkan mereka dalam persoalan lantas mencipta pendapat sendiri.

Pihak kerajaan merupakan antara penyebab utama kemeruduman perpaduan kaum. Isu politik, isu rakyat dan isu perkauman yang terpapar di kaca televisyen dan dada akhbar sering dikaitkan dengan kegagalan kerajaan membentuk negara yang penuh perpaduan. Kesannya, kawalan keselamatan Negara mula dipandang remeh dan semakin longgar. Saya memilih kejadian ISA sebagai iktibar daripada kegagalan rakyat untuk memahami fungsi ISA. ISA ditubuhkan untuk menjaga keselamatan negara kita dan menangkap sesiapa sahaja yang mengancam keselamatan Negara. Tambahan pula, negara akan menjadi huru – hara dengan perhimpunan haram dan perbalahan akibat daripada perpaduan yang semakin pudar.

Masihkah kita ingat pada tarikh 13 Mei 1969? Ia merupakan tarikh berdarah bagi tragedi rusuhan perkauman yang menyedihkan ramai pihak. Selepas 41 tahun ia berlaku, terdapat tanda – tanda yang ia akan berlaku sekali lagi. Tragedi ini bukan sahaja menyebabkan hilangnya perpaduan kaum tetapi juga kehilangan nyawa orang yang tersayang. Sebagai generasi Wawasan 2020, marilah kita berikrar dengan Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran perlembagaan dan kesopanan serta kesusilaan. Marilah kita berpegang pada pepatah lama ‘ Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. ‘ 

Sekian terima kasih.

2 comments:

  1. nice blog :).... and thx 4 the share of information.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks :D

      And sorry for late to recognize your comment >.<'

      Delete

Feedo-Back-ku ~ XD